Tuesday, October 11, 2016

Draf 1 - Ke Sur, Selatan Lubnan.

So that day, I was traveling down south with Aisha, her sister and 2 other people yang baru saja kami kenali dalam perjalanan kami ke Tyre, di bahagian Selatan Lebanon, sebuah kubu kuat pihak parti Hezbollah. Kebanyakan penduduk di situ adalah dari golongan Muslim. Di merata-rata kawasan akan terlihat poster-poster golongan syahid tentera Hezbollah. Tempat ini juga tidak jauh dari persempadanan dengan Israel. Maka, tidak hairanlah ianya menjadi kubu kuat Hezbollah yang mempertahan persempadanan Lebanon. Ah, kau takkan belum tahu lagi bagaimana sosiopsikologi manusia berfungsi. Di mana ada isu yang menekan, di situlah akan ada semangat melawan. Di situlah akan ada timbul pahlawan.

Sepanjang perjalanan, kami berbual pelbagai perkara, terutamanya berkenaan dengan Revolusi Arab dan politik Timur Tengah ini. Elok pula salah seorang kawan baru kami jumpa merupakan pelajar Master Sains Politik dari Tunisia. Negara tempat tercetusnya Arab Spring pada tahun 2011, setelah Mohammed Bouazizi, seorang peniaga jalanan membakar dirinya akibat kekecewaan oleh kesempitan hidup. Iman bersungguh-sungguh menceritakan kekecewaannya dan rakyat Tunisia lain akan apa kesan dari Revolusi yang mereka mulakan. Menurutnya, mereka mulanya begitu bangga akan betapa semangat memerangi diktator-diktator korup yang menekan rakyat marhaen dan bawahan. Vive la liberte’, egalite’ et fraternite’! Setiap hari dia turun ke dataran di antara kelas-kelasnya di universiti. Ramai yang berkumpul, berkhemah berpuluh-puluh hari. Dia sanggup terlepas makan tengahari dari terlepas ceramah laungan semangat oleh para pendemonstran. Ada doktor yang merawat mereka yang tercedera.

Rakyat Tunisia begitu bangga sekali setelah api yang membakar tubuh kurus Bouazizi akhirnya terpercik dan membakar jiwa seluruh rakyat Timur Tengah untuk bangkit melawan penguasa rakus dan korup. Memulakan sejarah dan lembaran baru. Namun setelah beberapa tahun berlalu, butterfly effect dari Bouazizi mengambil langkah berbeza. Libya akhirnya diporak-perandakan, Syria masih lagi berdarah. Assad takkan turun, ISIS membuat gila.

Apa kemungkinan ini semua percaturan oleh tangan-tangan kuasa luar Amerika Syarikat? Aku bertanya, soalan tipikal. Mungkin sekali, balasnya.

Mungkin sekali? Ianya bukanlah jawapan yang menenangkan. Mungkin tidak membantu apa-apa. Aku pelajar Perubatan, dilatih berfikir secara saintifik, empirikal. Cari bukti dan pastikan. Mungkin ini lemah bagi aku. Segalanya mungkin, baik saja kita lupakan. Bagaimana kau boleh mengambil satu pendirian hanya atas kemungkinan sebagai asas kepercayaan?

Apa tidak ada cara ahli sains politik untuk memastikan kemungkinan ini pada masa sekarang? Tidak ada. Yang ada hanyalah kebarangkalian. Dan satu-satunya cara untuk menentukan kebarangkalian-kebarangkalian ini hanyalah dengan melihat kembali dari masa hadapan. Setelah segala dokumen-dokumen rahsia dibuka. Apa ISIS merupakan ciptaan CIA, sebagaimana Taliban juga dicipta oleh CIA untuk melawan Rusia? Yang hanya diketahui 15 tahun setelah ianya berlaku? Barangkali. Tiada cara untuk kita ketahui secara pasti waktu kini.

Ah, kecewa benar aku bagaimana kau tidak mampu hidup dengan kepastian. Kereta meluncur laju. Kami seterusnya melawat pekan Tyre dan ke pantai untuk mandi-manda dan bercanda. Malangnya aku masih tidak mampu mencari tempat tinggal sekembalinya aku ke Beirut dan oh Tuhan betapa Internet di Lubnan begitu perlahan sekali! Terseksa jiwa milenial aku. Jadi apa yang aku buat hanyalah cuba mencari tempat tinggal di Beirut, sambil melepak di gerai, mengecaj telefon milik Aisha sambil bersembang bersama tuan gerai.

Di hadapanku terbentang pantai begitu yang datang menikmati anugerah air dan pantai pemberian Tuhan. Pantai Sur ini aku kira sebuah analogi yang elok buat Lubnan. Terdapat dari golongan yang berpurdah, juga yang berbikini sahaja berenang dan bermain air bersebelahan. Beer juga diminum secara terbuka, bersebelahan dengan keluarga bertudung litup.

Aku pusing ke belakang aku dan melihat di jalan besar, terdapat kereta kebal - kereta kebal putih tertulis UN di atasnya. Ah, melihat mereka yang bergembira di pantai buat aku terlupa sebentar kawasan ini merupakan kawasan panas.

“Min wein enta? Malizi? (Kau dari mana? Orang Malaysia?)” tanya seorang penjaga gerai di sana.
“Eih, keif te’raf? (Ya, bagaimana kau boleh tahu?)” terkejut juga aku orang di sini juga dapat mengecam aku dengan baik.

“Saya kerja sama dengan MALBAT. Jadi penterjemah Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris. Boleh saja berbahasa Melayu sikit-sikit,”balasnya kembali. 

Ah, gila kau. Aku fikir aku sudah ke penjuru dunia yang lain, masih lagi aku jumpa orang asing yang mampu berbahasa Melayu.
“Ah ada ramai orang Malaysia di sini?” balas aku kembali berbahasa Melayu tanda menghargai kemampuannya.

“Ramai juga, ada beberapa ratus. Bertugas di bawah United Nation” balasnya.
MALBAT - merupakan singkatan kepada Malaysian Batalion yang bertugas di luar negara dengan United Nation Protection Force (UNPROFOR). Pahlawan dan wira negara yang membawa misi keamanan di rantau lain di dunia.

Namun aku tidak mampu bersembang lama, terus aku ke pantai untuk menghilangkan ‘kedahagaan’ aku untuk mandi pantai setelah lama berada di Irbid, yang mana pantai terdekatnya adalah 6 jam perjalanan. 

Aku mandi hilangkan puas, dan cepat-cepat pulang kerana Aisha tidak mahu terlepas dari menghadiri demonstrasi aman di Beirut.

Sepanjang perjalanan pulang, kami terus berbual-bual pelbagai perkara sekitar topik revolusi dan politik dunia. 



























No comments: